Thursday, December 9, 2010

Anak kesayangan aku yang pertama Nadjmin Bin Md Wahi

Nadjmin waktu ini berumur 1 tahun baru lepas sambut hari jadi...tu yang nampak happy jer. Rezeki Nadjmin memang murah.


Nadjmin waktu ini menjaga adik dia nombor dua bernama Nadjiha Binti Md. Wahi. Nadjmin memang sayang sangat adik dia.



Ini adik Nadjmin yang ke tiga dan yang bongsu bernama Nadjlin Binti Md Wahi. Hubungan Nadjmin dengan adik-adik baik dan dia memang sayangkan adik-adik dia. Aku mengingati saat2 indah ini membesarkan mereka, walau pun pada waktu itu banyak ujian dari tuhan yang aku terima. Tetapi aku redha dan besyukur atas segala ujian itu


Nadjmin dilahirkan pada 15 Desember, 1981. Dikalangan keluarga dan sepupu aku dikira agak lambat mengandung. Puas juga berubat, dan pergi juga berubat cara tradisional di Kanchung Darat Banting, Selangor dengan Pak Cik Surip. Semasa mengandung pun doktor suruh buang dengan alasan anak tidak jadi, hanya sebesar biji kacang, waktu itu dengan Dr. Ariffin. Tetapi oleh kerana aku susah mengandung, bertahan jugalah, kalau ditakdirkan aku terima anak cacat, aku redha. Kemudian aku membuat pemeriksaan bersama dengan Dr Janaki pula, keputusannya, baby aku ok. Rupanya aku ni jenis yang mabuk teruk dulu, sebelum lekat dan barulah baby aku berkembang. Aku waktu itu menetap di Taman Clonlee, Tampin. Aku melahirkan Nadjmin di hospital besar Melaka, kalau tak silap jam 09.00 pagi. Tidaklah lama sangat aku menunggu sakitnya hendak bersalin. Yang penting aku bersyukur kelahiran tidak memberi masalah. Malah aku lebih suka sakit bersalin, dari mabuk sembilan bulan. Itulah kebesaran Allah Taala.

Sebenarnya aku belajar memandu dan ambil lesen kereta sewaktu mengandungkan Nadjmin. Susah jugalah waktu itu. Bayangkan dari Tampin aku ke JPJ Seremban. Dahlah aku mabuk, bawa perut lagi. Waktu dulu memandu kereta lesen L ni, jenis kereta lama dan stering kereta yang keras, tidak ada 'power stering'. Mana ada kereta auto untuk belajar memandu. Signel tangan juga kena buat. Untungnya masa mengandung tidak kena ujian brek kecemasan dan berhenti di puncak bukit. Semua tu lepaslah. Tetapi mula ambil lesen L tu aku gagal. Kemudian ambil lagi pada tahun yang sama, akhirnya aku lulus. Tahu tak, sewaktu aku lulus dan dapat lesen, tempat pertama aku bawa kereta kemana..?...ke Endau Mersing. Suami aku pada waktu itu, bawa kereta lain dihadapan aku dan aku ikut dari belakang. Didalam kereta aku emak, ayah, adik dan anak aku Nadjmin. Dalam kereta suami aku waktu itu kakak aku dan anak beranak. Bayangkan kalau kemalangan satu keluarga mati. Dulu mana ada highway, dengan jalan bengkang-bengkok dan lori balak fuh...!! punyalah banyak. Tapi syukur, akhirnya aku berjaya sampai ke destinasi dan selamat pulang ke Negeri Sembilan juga, alhamdulilllah.

Sesungguhnya anak aku Nadjmin memang tidak ada masalah waktu membesarkannya. Yang banyak masalah adalah dalam kehidupan peribadi aku sendiri dan kehidupan rumahtangga aku. Kebanyakkannya berkaitan dengan keluarga. Aku banyak menempuhi kepahitan ini secara seorang diri. Aku banyak menahan ragam orang yang dekat dengan aku. Walau pun dalam usia muda aku sudah ada tanggungjawab dalam rumahtangga, tetapi aku hadapi semuanya dengan terima datangnya hari ini dan biarkannya ianya berlalu, dan sedia menerima kedatangan hari esok pula. Hari ini menangis dan biarkanlah segala kepahitan itu samaada dapat diselesaikan atau tidak. Sebab setiap kepayahan yang datang seperti kemuncut yang melekat dikaki. Ada yang senang dibuang dengan tangan satu persatu, ada yang perlu di lorot dengan pisau dan ada yang melekat terus. Ada juga yang putus kepalanya dan tinggal ekor. Yang ini kalau kena milu ada, gatal ada, sakit pun ada. Di raba ada terasa, dicari tak tau kat mana tersembunyi. Kemuncut yang tinggal begini, memang buat  kita rasa sakit hati. Tapi apa boleh waktu itu aku seperti "diluah mati emak, ditelan mati bapak".




Anak-anak adalah hadiah yang teristimewa dari Allah dan aku bersyukur dengan kehadiran mereka. Mereka adalah harta aku didunia dan diakhirat

No comments:

Post a Comment