Friday, December 17, 2010

Anak kesayangan aku yang ke tiga Nadjlin Binti Md. Wahi



Ini adalah anak kesayangan aku yang ke tiga dan tentulah yang paling bongsu atau yang terakhir. Di lahirkan pada 19 November, 1985 di Hospital Swasta, Seremban. Ketika aku mengandung anak ini, keadaan aku lebih teruk dari kedua-dua anak aku, mabuk yang teruk, masalah dan tekanan peribadi yang semakin meningkat dan kandungan yang agak kecil dan doktor menasihatkan aku ambil ubat dan pemakanan yang seimbang, kerana kandungan yang terlalu kecil akan menyukarkan bayi yang dilahirkan nanti.

Yang menariknya bayi aku ini main-mainkan masa hendak keluar. Malam sampai pagi sakit, pukul 07.00 pagi dia ok balik. Doktor menganjakkan masa kelahiran seminggu lagi. Walau bagaimana pun sekiranya aku sakit, doktor nasihatkan aku terus ke klinik beliau. Masa itu pun deepavali, dah tentulah doktor aku takde sebab bercuti. Kemana2 aku pergi semua kelengkapan bayi sentiasa dalam kereta, tak diturunkan. Selepas dua hari diperiksa, cuti deepavali pun sampai, Bangun pagi suami aku ajak pergi deepavali kerumah pekerja beliau di Tampin. Kami sebenarnya baru berpindah dari Tampin ke Seremban dan tinggal di Paroi Jaya. Suami aku waktu itu Pengurus di Kuari Gemencheh. Seronok jugalah pergi Deepavali, sebab mereka semua memang sediakan makanan yang hebat-hebat. Sebab pekerja suami aku disana waktu itu memang sayangkan beliau.

Rasanya tiga buah rumah kami dah pergi, perut aku mula sakit balik. Bayangkan dari Tampin nak ke Seremban ambik masa 30 minit. Pekerja-pekerja suami aku risau gila. Kami pun bergerak balik ke Seremban. Sampai je di Seremban, sakit aku hilang. Besoknya memang 'appoiment' aku, suami aku pun hantarlah ke klinik berkenaan di tengah bandar Seremban, Klinik Pani. Doktor pun marah aku gak. Kalau jadi apa-apa aku tengah jalan susah. Aku diberikan bilik untuk seorang, sebab memang dah masanya doktor akan paksa kelahiran. Aku tidurlah di klinik tersebut. Bangun pagi, aku dengar macam-macam suara orang nak bersalin ni. Ada yang menjerit-jerit " ayo...ayo..kadawale..kadwale...". Aku memang tak boleh duduklahkan, aku pun berjalan-jalan. Ada kakak yang dah bersalin tanya aku.."adik tengok siapa dik..", aku jawab " saya nak bersalin kak...". Kakak tu jawab.."ha...adik mengandung ker...?, tak nampak pun..!. Aku senyum dan berlalu.

Suami aku sampai dan doktor pun masuk bilik aku, untuk persiapan kelahiran bayi dalam perut ni. Aku cakap dengan doktor, aku taknak masuk air, tapi aku hendak ubat yang diletakkan dibawah. Sebab aku tak selesa dengan getah 'drip water' tu. Tunggu 20 minit, aku dah mula rasa sakit nak bersalin. Alhamdulillah, selamat aku bersalin jam 08.00 pagi kalau tak silap. Tapi bayi aku kecil dan dimasukkan kedalam acubater. Itulah kisah anak kesayangan aku yang ketiga ini.

Anak aku sorang ni, agak lain sedikit. Yalahkan, cakap orang-orang tua kita harus dengar dan ikut, kerana mereka bercakap berdasarkan pengalaman mereka. Seperti yag aku cakap diawal tadi, mengandung anak pertama aku susah dari segi mental dan fizikal, anak kedua bertambah teruk dan mengandungkan anak ketiga keadaan memang tidak lagi boleh diselamatkan. Aku juga sudah tidak larat hendak ikut kemahuan dan kehendak suami aku waktu itu. Akhirnya kesan itu juga akan sampai kepada bayi yang dikandung. Anak aku ni menangisjer. Bila di pangku dia tidur diam dan tidur. Tapi bila diletak dia jaga. Penyudahnya aku tidur sambil duduk dan bayi aku tidur dalam pangkuan. Itulah penyebab kenapa lutut aku sakit sampai sekarang kerana terlipat. Kami bawa anak ini berubat kampung dan dia oklah, tapi bila selepas tiga minggu, dia buat balik perangai. Masa dalam pantang, aku tidak duduk dengan emak kerana suami aku tidak benarkan. Katanya "jangan susahkan orang..", dia ambik cuti nak jaga aku, tapi akhirnya pergi kerja juga. Emak pun cakap dengan aku,"biarlah emak jaga anak kamu ini, abah kamu pun tahu tentang budak...". Memanglah pun sebab ramai orang hantar anak-anak mereka berubat dengan abah aku, sebab arwah abah ni serasi dengan budak. Setiap minggu aku baliklah jengok anak aku, atau ambik dia bawa balik ke Paroi. Yang aku bersyukur tu, anak aku ini tetap hendakkan aku.


Selepas tempuh segala kepahitan, akhirnya aku dan suami aku berpisah. Waktu itu anak aku yang pertama baru darjah tiga, kedua darjah satu dan yang bongsu ni umur lima tahun. Tahun 1990 kalau aku tak silap baru sah perceraian kami. Kerana bekas suami aku ceraikan aku melalui surat. Banyak drama dalam perjalanan hidup aku bersama dengan bekas suami aku. Tapi  perceraian ini memusnahkan seluruh keluarga aku, bayangkan. Sudah tentulah banyak kesalahan diletakkan dibahu aku, aku pun tidak tahu nak cakap apa. Tetapi waktu itu yang hampir dan bersimpati dengan aku ibu mertua aku. Aku ingat kata-katanya.."dah nasib kamu Nayah...kawin dengan dia...". Aku redha, tapi yang sedih kenapa keluarga aku hancur dengan perceraian aku. Takpalah aku taknak panjangkan cerita perceraian aku, kerana jodoh pertemuan, ajal maut ketentuan dari yang maha esa. Selepas habis edah, aku pun mencari kerja di motorola Seremban. Umur aku pun masih muda. Tapi pahit jugalah meninggalkan anak-anak. Bayangkan bangun awal pagi, anak-anak belum bangun, balik anak-anak dah tidur. Aku bersyukur kerana segala kepayahan dan kepahitan tidaklah aku terasa, kerana aku biarkan hari ini berlalu dan besok aku hadapi pula yang mendatang dan biarkan ianya belalu lagi. Aku banyak bersyukur dan mohon dari allah supaya tidak sempitkan rezeki aku. Waktu itu abah masih ada. Abah pencen polis, beliaulah yang hantar anak-anak aku kesekolah dan ambil waktu balik. Jarak dari rumah  ke pekan Rantau lebih kurang dua kilo.

Waktu itu abah pun dah mula sakit-sakit. Mungkin tekanan dari perceraian dan perbalahan yang berlaku. Kesian abah. Aku pun risaukan anak-anak aku kerana aku tak pernah berpisah dengan anak-anak, kerana kemana sahaja mereka pergi aku yang hantar. Memang kami tak pernah berpisah. Akhirnya aku mengisi borang untuk bekerja dalam Jabatan Kerajaan sebagai Guru Tabika Perpaduan, setelah aku bekerja genap dua tahun dalam Motorola. Sebenarnya aku tak dapat kerja tu. Aku hanya simpanan sahaja. Mungkin rezeki anak-anak, ada guru yang berhenti kerana mengikut suaminya ke luar negeri, maka aku dipanggil melaporkan diri. Di Motorola pula, bos yang paling besar dibahagian CATV masih memberi peluang untuk aku bekerja disana. Katanya.."dalam tempoh tiga bulan kalau tak happy bekerja di sana...kerja disini sentiasa menanti kepulangan kamu.." dia cakap dalam bahasa inggerislahkan. Aku mula bekerja di Jabatan Perpaduan pada tahun 1994. Aku kembali dapat bersama-sama dengan anak-anak aku. Waktu ni, aku mula belajar bawa motosikal dari sepupu aku, yang sekarang ini bekerja sebagai warden penjara di Kedah. Badan sepupu aku ni besar macam jantan kata orang tua-tua. Nak start enjin moto ni, pakai duit dua puluh sen. Mula belajar tu, kasut pun tak pakai, punyalah berat rasanya bawa motor tu, apa lagi sepupu di belakang. Marah gila tu bila aku tak dapat dan tidak berani bawa. Bila dia berhenti kat rumah dia nak buang air kecil, aku pun cubalah bawa sendiri, tahu sahajalah rumah aku tepi jalan, lori lalu hon punyalah kuat, buat aku takut. Emak aku memerhatikan aku dari jauh. Itulah permulaan aku bersama-sama dengan anak-anak. Anak-anak aku dulu belajar di sekolah cina, bila aku berpisah dengan bapa dia orang, aku terpaksa tukarkan mereka ke sekolah kebangsaan. Yuran untuk tusyen mereka tinggi. Tapi aku percaya setiap apa yang berlaku ada perkara yang terbaik menanti, kerana aku percaya ALLAH tidak sengaja untuk menyusahkan umatnya kecuali ada ganjaran yang terbaik menanti. Alhamdulillah, syukur aku pada Allah kerana memberikan aku anak-anak yang baik-baik dan yang aku paling sayang. Terima kasih jugalah kepada bekas suami aku.              

Thursday, December 9, 2010

Anak kesayangan aku yang ke dua Nadjiha Binti Md Wahi

Anak kesayangan aku ini lahir pada 8/9/1983. Anak yang terbaik yang aku ada, manja kerana anak aku ini menyusu badan sehingga umurnya 2 tahun lebih, dan waktu itu aku mengandung anak yang ke tiga....

















Anak aku Nadjiha seorang yang berdikari. Masa kecil anak ini juga baik, tidak pernah memberikan masalah yang berat untuk aku. Waktu aku mengandungkan Nadjiha, juga aku ada masalah yang berterusan, namun apa daya aku kehidupan harus diteruskan. Waktu mengandung mabuk aku lebih teruk dari anak yang pertama. Masalah juga bertambah. Tapi aku sayangkan anak-anak aku. Aku banyak memendam rasa, maklum aku hidup ditengah-tengah gosip. Nadjiha ni, kelahiran agak lain dari anak pertama. Waktu lahir, tali pusat dia panjang dibandingkan tali pusat abang dia sewaktu doktor hendak potong, baby letak di bawah perut aku. Nadjiha ni, tali pusat dia melilit lengan, leher dan doktor angkat dia tinggi-tinggi. Masa ni aku nampaklah tembuni anak aku, sejak itu aku tak suka sangat makan daging. Tembuni Nadjiha ni ada karung, atau senang faham macam beg plastik. Bidan basuh tembuni dan masukkan balik dalam karung ini. Kata orang tua-tua, karung tembuni ini, untuk orang yang kaki berubat, baik untuk perubatan tradisional. Entahlah aku sendiri pun tidak pasti kebenaran itu. Satu lagi keganjilan Nadjiha ini, semasa lahir sudah tumbuh gigi dua batang di bawah. Aku lahirkan dia jam 09.00 pagi lebih kurang. Tapi keluar dari 'labour room' jam 02.00 petang. Aku dimaklumkan gigi anak aku ada dua batang dan doktor gigi akan datang untuk buat pemeriksaan untuk 'baby'. Selain itu kelahiran Nadjiha ni, menjadi biru disebabkan pusat yang melilit leher dia. Yang baiknya, waktu dulu-dulu bidan, nurse dan doktor baik-baik melayan pesakit. Mereka buatkan aku milo. Kelemahan dan pembawaan aku yang teruk mabuk mengandung selepas muntah yang terakhir aku, selepas melahirkan anak.

Add caption




Anak kesayangan aku yang pertama Nadjmin Bin Md Wahi

Nadjmin waktu ini berumur 1 tahun baru lepas sambut hari jadi...tu yang nampak happy jer. Rezeki Nadjmin memang murah.


Nadjmin waktu ini menjaga adik dia nombor dua bernama Nadjiha Binti Md. Wahi. Nadjmin memang sayang sangat adik dia.



Ini adik Nadjmin yang ke tiga dan yang bongsu bernama Nadjlin Binti Md Wahi. Hubungan Nadjmin dengan adik-adik baik dan dia memang sayangkan adik-adik dia. Aku mengingati saat2 indah ini membesarkan mereka, walau pun pada waktu itu banyak ujian dari tuhan yang aku terima. Tetapi aku redha dan besyukur atas segala ujian itu


Nadjmin dilahirkan pada 15 Desember, 1981. Dikalangan keluarga dan sepupu aku dikira agak lambat mengandung. Puas juga berubat, dan pergi juga berubat cara tradisional di Kanchung Darat Banting, Selangor dengan Pak Cik Surip. Semasa mengandung pun doktor suruh buang dengan alasan anak tidak jadi, hanya sebesar biji kacang, waktu itu dengan Dr. Ariffin. Tetapi oleh kerana aku susah mengandung, bertahan jugalah, kalau ditakdirkan aku terima anak cacat, aku redha. Kemudian aku membuat pemeriksaan bersama dengan Dr Janaki pula, keputusannya, baby aku ok. Rupanya aku ni jenis yang mabuk teruk dulu, sebelum lekat dan barulah baby aku berkembang. Aku waktu itu menetap di Taman Clonlee, Tampin. Aku melahirkan Nadjmin di hospital besar Melaka, kalau tak silap jam 09.00 pagi. Tidaklah lama sangat aku menunggu sakitnya hendak bersalin. Yang penting aku bersyukur kelahiran tidak memberi masalah. Malah aku lebih suka sakit bersalin, dari mabuk sembilan bulan. Itulah kebesaran Allah Taala.

Sebenarnya aku belajar memandu dan ambil lesen kereta sewaktu mengandungkan Nadjmin. Susah jugalah waktu itu. Bayangkan dari Tampin aku ke JPJ Seremban. Dahlah aku mabuk, bawa perut lagi. Waktu dulu memandu kereta lesen L ni, jenis kereta lama dan stering kereta yang keras, tidak ada 'power stering'. Mana ada kereta auto untuk belajar memandu. Signel tangan juga kena buat. Untungnya masa mengandung tidak kena ujian brek kecemasan dan berhenti di puncak bukit. Semua tu lepaslah. Tetapi mula ambil lesen L tu aku gagal. Kemudian ambil lagi pada tahun yang sama, akhirnya aku lulus. Tahu tak, sewaktu aku lulus dan dapat lesen, tempat pertama aku bawa kereta kemana..?...ke Endau Mersing. Suami aku pada waktu itu, bawa kereta lain dihadapan aku dan aku ikut dari belakang. Didalam kereta aku emak, ayah, adik dan anak aku Nadjmin. Dalam kereta suami aku waktu itu kakak aku dan anak beranak. Bayangkan kalau kemalangan satu keluarga mati. Dulu mana ada highway, dengan jalan bengkang-bengkok dan lori balak fuh...!! punyalah banyak. Tapi syukur, akhirnya aku berjaya sampai ke destinasi dan selamat pulang ke Negeri Sembilan juga, alhamdulilllah.

Sesungguhnya anak aku Nadjmin memang tidak ada masalah waktu membesarkannya. Yang banyak masalah adalah dalam kehidupan peribadi aku sendiri dan kehidupan rumahtangga aku. Kebanyakkannya berkaitan dengan keluarga. Aku banyak menempuhi kepahitan ini secara seorang diri. Aku banyak menahan ragam orang yang dekat dengan aku. Walau pun dalam usia muda aku sudah ada tanggungjawab dalam rumahtangga, tetapi aku hadapi semuanya dengan terima datangnya hari ini dan biarkannya ianya berlalu, dan sedia menerima kedatangan hari esok pula. Hari ini menangis dan biarkanlah segala kepahitan itu samaada dapat diselesaikan atau tidak. Sebab setiap kepayahan yang datang seperti kemuncut yang melekat dikaki. Ada yang senang dibuang dengan tangan satu persatu, ada yang perlu di lorot dengan pisau dan ada yang melekat terus. Ada juga yang putus kepalanya dan tinggal ekor. Yang ini kalau kena milu ada, gatal ada, sakit pun ada. Di raba ada terasa, dicari tak tau kat mana tersembunyi. Kemuncut yang tinggal begini, memang buat  kita rasa sakit hati. Tapi apa boleh waktu itu aku seperti "diluah mati emak, ditelan mati bapak".




Anak-anak adalah hadiah yang teristimewa dari Allah dan aku bersyukur dengan kehadiran mereka. Mereka adalah harta aku didunia dan diakhirat